Terma Perkhidmatan Peniaga
Kemas kini terakhir: Oktober 2026
Terma ini terpakai kepada mana-mana perniagaan F&B ("Peniaga") yang mendaftar dan menggunakan platform AllOrder (dikendalikan oleh CKT Global) di allorder.cktlink.com dan subdomain kedai (contoh: namakedai.cktlink.com). Dengan mendaftar, Peniaga bersetuju dengan terma di bawah.
1. Penerimaan Terma
Dengan mendaftar akaun Peniaga di AllOrder, anda mengesahkan bahawa anda mempunyai kuasa sah untuk mewakili perniagaan tersebut dan bersetuju untuk terikat dengan terma ini.
2. Kelayakan Pendaftaran
Peniaga mesti menjalankan perniagaan F&B yang sah (cafe, restoran, gerai, food court, bakeri dan seumpamanya) dan memberikan maklumat perniagaan yang tepat semasa pendaftaran (nama, alamat, nombor WhatsApp, kategori perniagaan).
3. Pakej Langganan & Caj Perkhidmatan
Pendaftaran adalah PERCUMA (RM0). AllOrder menawarkan pakej langganan MULA, NIAGA dan PRO seperti dipaparkan di cktlink.com. Pakej semasa: MULA — RM0, caj 5% pesanan online dan 5% pesanan waiter; NIAGA — RM99 sebulan atau RM990 setahun, caj 2% pesanan online dan 0% pesanan kaunter (POS) & waiter; PRO — RM199 sebulan atau RM1,990 setahun, caj 2% pesanan online dan 0% pesanan kaunter (POS) & waiter. Setiap pakej mempunyai yuran langganan (bulanan atau tahunan; RM0 bagi pakej MULA), kadar caj perkhidmatan dan ciri yang tersendiri. Caj perkhidmatan dikira sebagai peratusan daripada nilai produk (tidak termasuk caj penghantaran) bagi setiap jualan yang disahkan (status pesanan bertukar ke "paid"), mengikut kadar pakej Peniaga yang berkuat kuasa pada masa jualan: kadar pesanan online, atau kadar jualan dalam kedai bagi pesanan melalui Cashier (POS) atau waiter. Caj perkhidmatan dan yuran langganan ditolak secara automatik daripada baki kredit prabayar Peniaga. Peniaga perlu memuat naik semula ("top-up") baki kredit (minimum RM10) untuk terus menerima pesanan; jika baki kredit mencecah sifar atau negatif, paparan menu/kedai akan disekat automatik sehingga baki ditambah semula. Kredit promosi percuma (jika ditawarkan) tertakluk kepada syarat kempen berkenaan.
4. Langganan, Pembaharuan & Tamat Tempoh
Yuran pakej berbayar dibayar terlebih dahulu bagi setiap tempoh langganan (1 bulan atau 1 tahun), sama ada daripada baki kredit atau melalui pindahan bank yang disahkan oleh AllOrder. Pembaharuan automatik diaktifkan secara lalai: pada akhir tempoh, yuran tempoh berikutnya ditolak daripada baki kredit jika baki mencukupi. Peniaga boleh mematikan pembaharuan automatik pada bila-bila masa di Dashboard › Kredit. Jika langganan tidak diperbaharui, tempoh tangguh 3 hari diberikan; selepas itu akaun beralih secara automatik ke pakej MULA berserta kadar caj dan ciri pakej MULA. Naik taraf ke pakej yang lebih tinggi berkuat kuasa serta-merta, dan nilai baki tempoh pakej semasa yang belum digunakan ditolak secara pro-rata daripada yuran pakej baharu. Turun taraf hanya boleh dibuat selepas tempoh langganan semasa tamat. Add-on (contohnya Staff & Gaji) boleh dilanggan berasingan untuk mana-mana pakej: yuran add-on dikira mengikut struktur harga yang dipaparkan (termasuk bilangan staf aktif pada tarikh bayaran atau pembaharuan), dibayar bulanan terlebih dahulu daripada baki kredit, dan tertakluk kepada pembaharuan automatik serta tempoh tangguh yang sama. Jika add-on tidak diperbaharui, modul berkenaan dinyahaktifkan tetapi data Peniaga dikekalkan.
5. Perubahan Yuran & Kadar Caj
AllOrder boleh mengubah yuran langganan, kadar caj perkhidmatan atau kandungan pakej dari semasa ke semasa. Sebarang perubahan yang menambah kos kepada Peniaga akan dimaklumkan sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal melalui laman web, dashboard Peniaga atau WhatsApp/e-mel berdaftar. Yuran baharu terpakai mulai tempoh langganan berikutnya selepas tarikh berkuat kuasa. Perubahan yang mengurangkan kos kepada Peniaga boleh berkuat kuasa serta-merta.
6. Tanggungjawab Peniaga
Peniaga bertanggungjawab untuk: mengemaskini menu, harga dan status stok dengan tepat; menguruskan dan menyediakan pesanan tepat pada masanya; menyediakan kaedah pembayaran yang sah (bank/QR manual atau DOKU); mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan yang berkaitan dengan operasi perniagaan makanan (termasuk lesen premis dan pensijilan berkaitan jika berkenaan); dan memastikan kualiti produk dan perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan.
7. Tanggungjawab AllOrder
AllOrder menyediakan platform teknologi untuk pengurusan menu, penerimaan pesanan digital, QR Order, dan ciri sokongan berkaitan (Loyalty/CRM, notifikasi, dashboard). AllOrder akan berusaha mengekalkan ketersediaan platform tetapi tidak menjamin operasi tanpa gangguan 100% pada setiap masa.
8. Had Liabiliti
AllOrder adalah penyedia platform teknologi sahaja dan bukan pihak dalam transaksi jualan antara Peniaga dan pelanggan. AllOrder tidak bertanggungjawab ke atas kualiti makanan/minuman, kesilapan pesanan oleh Peniaga, atau pertikaian secara langsung antara Peniaga dan pelanggan. Peniaga bertanggungjawab sepenuhnya ke atas produk dan perkhidmatan yang mereka sediakan.
9. Penamatan Perkhidmatan
Peniaga boleh berhenti menggunakan AllOrder pada bila-bila masa tanpa penalti (tiada kontrak jangka panjang; langganan adalah bulanan atau tahunan sahaja). Bagi pakej berbayar, langganan kekal aktif sehingga akhir tempoh yang telah dibayar dan tidak akan diperbaharui jika pembaharuan automatik dimatikan. AllOrder berhak menggantung atau menamatkan akaun Peniaga yang melanggar terma ini atau terlibat dalam aktiviti tidak sah. Bayaran balik baki kredit yang tidak digunakan dan yuran langganan tertakluk kepada Dasar Bayaran Balik AllOrder.
10. Data & Privasi
Pengumpulan dan penggunaan data Peniaga dan pelanggan tertakluk kepada Dasar Privasi AllOrder.
11. Pindaan Terma
AllOrder berhak meminda terma ini dari semasa ke semasa. Sebarang perubahan akan dikemaskini pada muka surat ini bersama tarikh kemas kini terbaru.
12. Undang-Undang Terpakai
Terma ini ditadbir oleh undang-undang Malaysia.
13. Hubungi Kami
Sebarang pertanyaan berkaitan terma ini, sila hubungi kami melalui WhatsApp atau e-mel yang disediakan di footer laman web.